Tuesday 29 March 2011

Isu bidang Teknologi & Inovasi dalam Pendidikan

PENGGUNAAN BLOG SEBAGAI MEDIUM PEMBELAJARAN BAGI PELAJAR SEKOLAH.

Dalam era globalisasi masa kini, penggunaan media baru dalam menyampai dan menyebarkan maklumat telah menjadi satu trend dalam masyarakat. Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan maklumat yang terkini hanya dengan menekan butang tetikus di komputer. Penggunaan Internet secara umumnya membolehkan individu mencari maklumat yang diinginkan dengan mudah. Perluasan yang tanpa sempadan membolehkan maklumat disampaikan dan diterima dengan cepat dalam kuantiti yang banyak. Pelajar sekolah khususnya harus didedahkan dengan penggunaan Internet sebagai salah satu medium pembelajaran. 

    Penggunaan blog adalah salah satu cara yang semakin berkembang sebagai satu medium pembelajaran masa kini. Dalam kajian yang dilakukan oleh Arjun Mukherjee dan Bing Liu, Improving Gender Classification of Blog Authors, mereka telah memberikan satu definisi blog sebagai ‘Weblogs, commonly known as blogs, refer to online personal diaries which generally contain informal writings’. Mereka merujuk blog sebagai sebuah diari peribadi yang kebiasaannya mengandungi penulisan tidak rasmi. Bagaimanapun, seiring dengan kemajuan penggunaan teknologi, penggunaan blog juga boleh dijadikan sebagai penggunaan formal terutama dalam sesi pembelajaran.




    Statistik menunjukkan penggunaan Internet oleh masyarakat di Malaysia. Sumber ini diperolehi dari buku Media Planning Guide MalaysiaEdisi 16, 2010. Statistik menunjukkan lingkungan umur 15 sehingga 34 tahun adalah mereka yang aktif menggunakan internet. Ini menunjukkan kepetingan serta penggunaan Internet lebih bertumpu kepada golongan muda. Maka, adalah wajar bagi mendedahkan para pelajar terutama pelajar sekolah masa kini dengan penggunaan blog sebagai salah satu cara mendedahkan mereka kepada penggunaan internet sebagai pusat pencarian serta pengumpulan maklumat.

    Selain itu, Blogging Asia: An MSN and Windows Live Report merupakan satu kajian yang dijalankan atas talian MSN portal, di seluruh tujuh negara Asia iaitu Hong Kong, India, Korea, Malaysia, Singapura, Taiwan dan Thailand. Soal selidik atas talian yang dijalankan pada bulan Ogos dan September 2006 ini melibatkan 25,000 responden dan telah menganalisa data mengenai laman sesawang blog Windows Live SpacesBlogging Malaysia: A Windows Live Report adalah bahagian kajian bagi Malaysia. Hasil kajian yang dikemukakan antaranya mendapati 74% blogger adalah mereka yang berumur 25 tahun dan ke bawah. Hasil kajian ini menunjukkan tahap penggunaan blog dalam golongan muda yang tinggi.

Kebaikan
Terdapat beberapa kebaikan penggunaan blog sebagai medium pembelajaran kepada pelajar sekolah. Yang pertama adalah memudahkan pembelajaran jarak jauh antara guru dan pelajar. Dengan penggunaan blog ini, pembelajaran tidak akan bertumpu hanya pada waktu sekolah sahaja malah boleh diteruskan apabila berada di rumah. Guru boleh menggunakan blog bagi memberi informasi yang lebih kepada pelajar yang mungkin tidak sempat diberi atau diajar dalam kelas pada waktu persekolahan. Dengan ini, pelajar akan mendapat maklumat tambahan selain membentuk mereka menggunakan blog untuk sesi pembelajaran.

    Keduanya, penggunaan blog juga memudahkan para guru untuk memberikan sambungan kepada laman web yang berkaitan. Laman web yang menarik mampu menarik pelajar menyertai sesi pembelajaran yang dijalankan. Dengan itu juga, mereka akan terdedah kepada teknik pencarian maklumat dan laman web yang menarik bagi membantu mereka mencari maklumat.

    Selain itu, pelajar boleh berinteraksi dengan guru mereka dengan memberikan komen tentang post yang diberi. Guru boleh menumpukan kepada persoalan atau perbincangan tentang sesuatu isu kepada pelajar dan menggalakkan mereka memberi pandangan dan berinteraksi antara satu sama lain. Ini mungkin dapat membantu guru mengenal pasti pelajar yang mampu mengutarakan pandangan tetapi malu membuat demikian dalan kelas. Dengan ini juga, apabila berada dalam kelas guru boleh menggalakkkan mereka berinetraksi secara terus dalam kelas dan membentuk mereka agar lebih berkeyakinan.

Keburukan
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan serta keburukan penggunaan blog dalam memberi pengajaran kepada pelajar sekolah. Pembelajaran dalam blog memerlukan pelajar memiliki talian Internet di rumah mereka. Sekiranya tiada , mereka mungkin perlu ke Cyber Cafe bagi menyertai sesi pembelajaran. Ini mungkin akan membuatkan masa mereka terbuang, terutama dengan pergi keluar dari rumah dan mencari kedai.

    Selain itu, guru juga mungkin tidak mampu memantau keseluruhan pelajar kerana mungkin ada mereka yang tidak menyertai perbincangan. Selain tiadanya talian internet di rumah, mungkin ada pelajar yang terlalu sibuk dengan aktiviti lain seperti kelas tuisyen dan membantu ibu bapa di rumah untuk memberikan komitmen kepada sesi perbincangan. Hal ini akan menyebabkan sesi pembelajaran mungkin tidak dapat memenuhi matlamat dalam menyampaikan maklumat tambahan kepada keseluruhan pelajar dalam kelas.

    Perbincangan dalam blog yang menggunakan Internet mungkin akan membuatkan pelajar terpengaruh untuk ke laman web yang tidak berkaitan dengan pembelajaran. Lebih teruk sekiranya talian Internet mereka tidak ditapis, mereka mungkin akan terdedah kepada laman web yang tidak sepatutnya seperti laman web lucah. Ini mengundangkan pelbagai masalah negatif yang mungkin akan berlanjutan menjadi permasalahan yang lebih teruk. 

Kesimpulannya, penggunaan blog sebagai medium pembelajaran bagi pelajar sekolah amat digalakkan kerana kelebihan penggunaan Internet yang terkenal sebagai gudang penyimpanan maklumat selain mendedahkan pelajar sekolah kepada teknologi dan inovasi yang bergerak pantas disekeliling mereka. Bagaimanapun, pemantauan yang kuat perlu bagi memastikan pelajar menggunakan Internet di saluran yang betul terutama dalam mengadakan perbincangan ilmu.


Rujukan
 Mukherjee A. & Liu B. Improving Gender Classification of Blog Authors. Department of Computer Science, University of Illinois, Chicago.

James Selva. 2010. Media Planning Guide Malaysia 2010. Ed. ke-16. Indonesia: Perception Media International

http://www.microsoft.com/malaysia/press/archive2006/linkpage4337.mspx

17 comments:

  1. Salam,

    Saya amat bersetuju dengan maklumat yang anda sampaikan. Kini blog adalah medium teknologi yang menjadi kegilaan ramai. Saya merasakan blog ini adalah yang terbaik untuk berinteraksi dengan orang lain selain mendapatkan serta berkongsi maklumat sesama blogger. Blog menjadi suatu medium yang popular dalam kalangan pensyarah dan pelajar di universiti untuk berinteraksi, menyampaikan maklumat mengenai subjek yang di ambil, melakukan tugasan dan latihan di dalam blog dan sebagainya. Langkah ini memudahkan pelajar dan pensyarah untuk berinteraksi walau dimana mereka berada. Maklumat dapat disampaikan dengan cepat dan mudah kepada pelajar.

    FATIN FARHANA BINTI ZAKARIA
    A127817
    FSSK/2 [PEMBANGUNAN MANUSIA]
    TUTORIAL ISNIN 8-10 MALAM, MAKMAL KOMPUTER 3 DEWAN BUDIMAN

    ReplyDelete
  2. Terdapat beberapa organisasi blog yang menyediakan tapak blog secara percuma. Contohnya http://blogspot.com/ dan http://edublogs.org/. ianya sesuai untuk digunakan bagi pelajar, guru, dan sebagainya kerana lebih mudah.Jika laman ini digunakan sebagai landasan untuk masyarakat berkongsi maklumat berguna antara satu sama lain amatlah digalakkan kerana negara dapat melahirkan rakyat yang sentiasa berfikir secara kreatif, kritis dan menggunakan medium ini dengan sebaiknya.

    ROZANA MOHAMED RAZALI A128055
    PEMBANGUNAN MANUSIA TAHUN 2
    SEM 2 2010/2011

    ReplyDelete
  3. Penggunaan blog dalam bidang pendidikan di negara ini semakin berkembang dengan begitu pantas ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.Pelajar digalakkan menggunakan medium blog sebagai medan untuk pembelajaran mereka. Walaupun blog lebih popular dijadikan sebagi diari harian atau tempat meluahkan perasaan,namun ianya boleh juga dijadikan tempat perbincangan bagi pembelajaran mereka.Pendedahan ilmu berkaitan blog ini perlu didedahklan khususnya kepada golongan kanak-kanak lagi sekitar sekolah rendah bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang kemajuan teknolgi pada hari ini. Dengan ini,ia dapat melahirkan generasi muda negara yang maju dalam bidang teknolgi siber dan mamapu memimpin negara daengan berkesan di masa akan datang.

    MOHD IZZAT AZREN BIN MOHD AZMAN (A131055)
    PROGRAM PEMBANGUNAN MANUSIA
    TAHUN 2.SEMESTER 2 SESI 2010/2
    FSSK

    ReplyDelete
  4. Saya bersetuju dengan apa yang disampaikan. Penggunaan blog sebagai medium pembelajaran adalah bersesuaian dengan perkembangan pesat teknologi pada masa kini. Dengan menggunakan blog, pembelajaran dapat berlaksanakan di dalam dan di luar kelas, tanpa mengira masa dan tempat. Hanya dengan berbekalkan capaian Internet dan komputer atau telefon pintar, pembelajaran melalui blog dapat dilakukan. Selain itu blog juga dapat dijadikan sebagai sumber rujukan kerana setiap data yang telah dimuatnaik akan kekal dalam pangkalan data di Internet dan boleh diakses selagi ianya tidak dipadam. Internet juga membolehkan maklumat pembelajaran tersebut boleh diakses di seluruh dunia.

    MUHAMMAD ANUAR BIN MAULOD (A130797)
    PROGRAM KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN MAKLUMAT
    FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
    TAHUN 2 SEMESTER 2 SESI 2010/2011

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum.

    Ya. Penggunaan blog dalam pembelajaran adalah langkah yang bijak. Blog bukan sahaja tempat menjana pendapatan dengan iklan perniagaan atau tempat meluah perasaan.

    Namun ia juga dapat menjadi sumber ilmu bagi rujukan para pelajar. Di sini, pelajar boleh bertukar fikiran dan memberi idea mengenai sesuatu perkara. Rakan juga boleh memberi penambahbaikan terhadap idea tersebut.

    Ruang maklum balas tersebut boleh dijadikan tempat untuk mengasah bakat berfikiran kritis pelajar.

    Bukan itu sahaja, "link" ilmu boleh ditambah di blog. Apabila seorang pelajar menemui sumber ilmu yang baik, maka dia akan berkongsi dengan rakan yang lain. Kesannya, berlakulah perkembangan ilmu.

    Sokongan multimedia seperti video, muzik, visual, teks (Word/PDF) boleh juga membantu pembelajaran. Ia meningkatkan daya minat pelajar untuk membaca dan sebagai.

    Selain itu, blog juga dapat memupuk budaya kreatif. Pelajar tentunya mahu rakan mereka melawat blognya. Oleh itu, pelbagai idea dan usaha dilakukan untuk itu. Maka, pelajar akan menghias dan memberi sentuhan kreatif dalam blog masing-masing.

    Akhir kata, mewajibkan setiap pelajar mempunyai blog sendiri adalah tidak salah. Malahan guru tersebut boleh menjadi pemantau/penasihat kepada isi kandungan blog.

    Sekian, Wasalam.

    NURUL HIDAYAH BT ABDUL RAHMAN
    130252
    FSSK
    TAHUN 2/SEM 2(Sesi 2010/2011)
    Tutorial: 8-10pm

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum,

    Terdapat pelbagai medium atau platform yang menjadi bahan dalam membantu proses pembelajaran pada zaman kini. Blog salah satunya, forum, chatting, webcam dan lain lain.

    Tetapi penggunaan blog dikatakan lebih efektif dan efisyien dari yang lain-lain kerana dengan blog maklumat yang diperolehi adalah lebih meluas dan lebih mendalam jika dibandingkan dengan teknologi yang lain.

    Penggunaan blog dalam pembelajaran boleh menarik minat pelajar untuk belajar kerana dengan adanya maklumat-maklumat tanpa sepadan yang terdapat di Internet dan membolehkan mereka untuk menimba pengalaman tentang sesuatu yang baru. Memiliki blog bermakna segala isi didalam blog tersebut boleh dibaca dan diakses oleh manusia serata dunia. Dengan secara tidak langsung, pelajar tersebut juga telah memberi pengetahuan terhadap orang lain dan dengan penggunaan kotak komen juga mereka boleh bertukar-tukar pendapat dan ide sesama mereka. Maka secara tidak langsungnya proses pembelajaran pengetahuan mereka boleh bertambah.

    NURMARIAM AISYAH BINTI HASHIM
    A130905
    PENGAJIAN BAHASA INGGERIS, FSSK
    TAHUN 2 SEM 2, SESI 2010/2011
    Tutorial Selasa, 8.00-10.00 malam, Makmal 3 Fakulti Pendidikan

    ReplyDelete
  7. Hari ini, penggunaan blog sebagai media untuk menyampaikan maklumat oleh organisasi atau individu semakin popular. Didapati semakin ramai orang memiliki blog sendiri. Lihat sahaja tokoh-tokoh politik di negara kita, hampir kesemuanya memiliki blog. Penggunaan blog sebagai saluran info lebih mudah diselenggara, malah boleh didapati dengan percuma. Kesemua menu, paparan tema, wijet dan tools untuk menyelenggara blog telah tersedia. Apa yang diperlukan hanya satu alamat email untuk mengaktifkan akaun blog.

    Terdapat beberapa organisasi blog yang menyediakan tapak blog secara percuma. Contohnya http://blogspot.com/ dan http://edublogs.org/. Bagi kalangan sekolah, pendidik dan pelajar, saya sarankan agar memilih edublogs.org kerana blog ini tidak disekat oleh GITN.

    Untuk tujuan mempromosi dan menggalakkan sekolah menggunakan web blog sebagai saluran informasi sekolah, saya berkesempatan bersama-sama dengan guru-guru dari sekolah rendah dan menengah Daerah Tambunan di dalam Bengkel Penghasilan Blog pada 19 dan 20 Ogos 2009 bertempat di PKG Daerah Tambunan. Kepada semua peserta bengkel, selamat maju jaya di dalam menghasilkan blog sekolah mahupun blog persendirian.

    NUR RADIA BINTI HARUN
    A128048
    FSSK/2
    PEMBANGUNAN MANUSIA

    ReplyDelete
  8. salam..
    penggunaan blog sebagai medium pembelajaran bagi pelajar sekolah amat digalakkan kerana kelebihan penggunaan Internet yang terkenal sebagai gudang penyimpanan maklumat selain mendedahkan pelajar sekolah kepada teknologi dan inovasi yang bergerak pantas disekeliling mereka. Bagaimanapun, pemantauan yang kuat perlu bagi memastikan pelajar menggunakan Internet di saluran yang betul terutama dalam mengadakan perbincangan ilmu.
    SITI NURULHUDA BINTI SHEH ANUAR
    A127887
    FSSK/2

    ReplyDelete
  9. salam...

    saya juga bersetuju tentang artikel di atas.. blog adalah salah satu medium untuk seseorang menyampaikan maklumat, melontarkan pendapat, membincangkan sesuatu isu dan sebagainya. tetapi ada juga sesetengah pihak yang menggunakan blog untuk menyampaikan maklumat palsu, memberi fakta yang salah dan yang lebih teruk ada yang menggunakan blok untuk menceritakan dan menyebarkan fitnah. Kita harus bijak menggunakannya supaya ia menjadi satu medan yang berguna untuk kita menyampaikan dan berkongsi ilmu.

    NUR SYAIRAH MOHAMAD
    A128536
    FSSK/2

    ReplyDelete
  10. penggunaan blog merupakan salah satu langkah yang bijak dalam mengaplikasikan teknologi dalam pendidikan. pelbagai faedah dapat diperolehi oleh pelajar dan juga tenaga pengajar. namun begitu, di sebalik kebaikan yang terdapat didalam penggunaan blog terselit juga kelemahan-kelemahan yang disedari atau tidak. oleh itu, pemantauan semua pihak termasuk ibu bapa dan juga tenaga pengajar amatlah perlu bagi memastikan blog tidak disalahgunakan oleh pelajar.

    MOHD FAIZAL BIN ISMAIL
    A128748
    FSSK/MENTION/2
    SEMESTER 2/2010/2011

    ReplyDelete
  11. Penggunaan blog sekarang sudah meluas, tetapi jika dari segi guru menggunakannya untuk pendidikan, ianya agak kurang. Tetapi saya nak bangkitkan isu kalau boleh FB, kenapa tidak boleh membuka blog untuk menambah pengetahuan? Blog seperti ini pun boleh berperanan untuk memberi ilmu. Tidak perlu cari blog-blog yang betul-betul fokus untuk pembelajaran.

    NUR AKMAL BINTI MOHAMED ROZALI
    A126692
    FST/2 PROGRAM GENETIK (PPBsBt)

    ReplyDelete
  12. Salam,

    Saya bersetuju dengan semua poin yang saudara kemukakan di atas. Sememangnya penggunaan teknologi, atau dalam konteks ini, blog mempunyai kebaikan dan keburukannya dalam dunia pendidikan. Bertepatan dengan kenyataan Carrie P Snow tentang teknologi ;

    "Technology is a queer thing. It brings you great gifts with one hand, and it stabs you in the back with the other."

    Bagi saya, blog hanyalah alat/medium pembelajaran. Manusialah yang bertanggung jawab untuk mengendalikan alat ini sebaik mungkin. Jika kita menggunakan blog dengan tujuan dan niat yang baik, maka baiklah ia.

    Sekadar pandangan..

    MASTURA BINTI NASRUN SANI
    A127641
    FSSK/2
    Sem 2, Sesi 2010/2011

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum,
    Blog berbeza dari website atau mana-mana laman web statik, kerana maklumat di dalam blog sentiasa di kemaskini. Ada beribu blog berbahasa Inggeris di luar sana dikemaskini 3-7 kali dalam sehari. Perkongsikan maklumat berguna adalah kebaikan blog yang paling ketara. Pengguna boleh membaca apa saja maklumat, kemudian boleh berinteraksi dengan orang di sebalik blog yang memberikan maklumat tersebut melalui teks,imej,rakaman suara atau klip video. Kebaikan blog kepada pelajar selain untuk memberi maklumat adalah:
    1) Sebagai tempat perbincangan di ruang komen atau chat box dari pelbagai lokasi diseluruh dunia.
    2) Melatih kemahiran menulis, walau dalam pelbagai bahasa
    3) Melatih kemahiran seni reka digital, terutama design blog, kod CSS atau ‘blog skin’.
    4) Tempat menyampaikan idea, gagasan atau tugasan kepada pensyarah atau guru

    NORSYAZANA BINTI ZULKIFLI
    A125102
    TAHUN 3 (SEM 2 2010/2011)
    FAKULTI SAINS & TEKNOLOGI
    SELASA, 8-10 PM, MAKMAL 3 F.PENDIDIKAN UKM
    Isu: Laman Sosial dan Pendidikan

    ReplyDelete
  14. salam..

    saya juga bersetuje dengan penggunaan blog dalam pendidikan. walaupun terdapat pro dan kontra tentang penggunaannya tetapi saya rasa pihak sekolah perlu menyediakan makmal komputer yang boleh digunakan oleh pelajar dengan pantauan guru bagi menggalakkan penggunaan blog dalam pembelajaran.

    sekian..

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum,
    Isu yang menarik..sumbangan blog dalam proses pembelajaran sememangnya tidak dapat disangkal lagi.Saya bersetuju dengan kenyataan saudara di atas,pelajar dapat menyuarakan pendapat di blog dalam matapelajaran yang diambil serta boleh bertanya masalah pelajaran yang tidak difahami kepada guru melalui blog.Dengan ini,pelajar dan guru dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu bersua muka antara satu sama lain bagi sesi soal jawab.


    CITY ZULAIHA BINTI MOHAMAD ZAID
    A130775
    TAHUN 2 SEM 2(2010/2011)
    PEMBANGUNAN MANUSIA(FSSK)
    SELASA 8-10 MLM

    ReplyDelete
  16. Assalamualaikum,

    Saya telah membaca isu yang diutarakan iaitu tentang penggunaan blog dalam pembelajaran. Sememangnya penggunaan blog ini adalah bagus dalam kalangan pelajar. Terutama jika para pelajar ingin berkongsi hasil karya dengan pembaca-pembaca blog yang lain. Hal ini akan dapat membuatkan para pelajar berfikiran dengan lebih kritis dan kreatif. Maka, penggunaan blog ni amatlah digalakkan dalam kalangan pelajar. Sekian.

    Roziana Binti Ab Rasit
    A123927
    FST/3 Sem 2 Sesi 2010/2011
    Tutorial:Selasa 8 p.m.

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum Nabil,

    Penggunaan blog sebagai medium di dalam pembelajaran merupakan satu langkah yang baik. Ia bukan sahaja dapat membantu dalam proses P & P malah ia juga dapat dijadikan sebagai wadah dalam perkongsian ilmu antara para pelajar.

    SAKINAH BINTI RAMLI
    A130757
    TAHUN 2(SEM 2 2010/2011)
    PSIKOLOGI,FSSK
    SELASA 8-10 MALAM
    MAKMAL 3

    ReplyDelete